Legenda Manchester United Dwight Yorke percaya bahawa cara Manchester United layan David de Gea adalah biadap dan tidak menghormati penjaga gol legenda itu.

Yorke malah bimbang mereka mungkin menyesali keputusan mereka melepaskan penjaga gol itu dengan cara sedemikian.

De Gea, 32, kini menjadi ejen bebas selepas kontraknya di Old Trafford tamat minggu lalu.

Dia dilaporkan ditawarkan lanjutan kontrak, yang diterimanya, sebelum tawaran itu digantikan dengan yang baharu dengan pengurangan gaji yang signifikan.

De Gea yang tidak bersetuju masih berharap agar ada rundingan baharu dibuat. Malangnya, dia terus menunggu membuatkan dia memuat status dengan emoji ‘mengantuk’ di Twitter, hanya sehari sebelum bergelar ejen bebas.

Kemudian kelab memutuskan untuk kembali berunding dengan De Gea kerana masih tidak mendapat jaminan mereka akan mendapat penjaga gol baharu.

United mahukan Andre Onana dari Inter Milan. Kedua dua kelab mencari kesepakatan pada harga.

Apa yang pasti Dwight Yorke terkilan dengan cara Man United mengendalikan kontrak De Gea. Mereka mungkin harus memberitahu De Gea lebih awal bahawa kelab berhasrat mencari penjaga gol baharu untuk musim ini.

Ia mungkin akan membolehkan De Gea diberikan penghargaan pada hari terakhir di Old Trafford musim lalu dengan majlis perpisahan selayaknya.

Sebaliknya kelab menawarkan kontrak lanjutan kepada De Gea yang awalnya dilihat akan bersetuju dengan kontrak itu. Sebelum kelab merombak semula syarat lanjutan dengan bayaran gaji yang jauh lebih rendah.

De Gea yang memecahkan rekod Peter Schmeichel musim lalu dari segi catatan clean sheets tertinggi dalam semusim, membantu kelab menamatkan saingan liga di tangga ketiga dan kembali semula ke UCL.

Dipercayai bahawa persembahan menjelang akhir musim lalu – menentang West Ham, Sevilla dan Manchester City dalam perlawanan akhir Piala FA – mempengaruhi keputusan United untuk menggantikan penjaga gol, walapun dia memenangi Sarung Tangan Emas EPL musim lalu.

Dwight Yorke, yang memenangi treble terkenal dengan United pada 1999, percaya bahawa saga itu telah ditangani dengan buruk oleh kelab walaupun dia akui Ten Hag berhak untuk memilih untuk menggantikan De Gea kerana sistem permainan.

Yorke kecewa dengan cara United layan De Gea selepas 12 tahun kariernya yang luar biasa bersama mereka. Yorke tidak menafikan hakikat bahawa Man United berhak untuk menggantikan De Gea jika mereka merasakan ada penjaga gol lebih baik.

Cuma dia benar benar menganggap cara United mengendalikan situasi itu sebagai huru hara dan tidak menentu.

“Situasi David de Gea, cara Man United agak tidak menghormati penjaga gol itu, tetapi pada masa yang sama mereka juga berhak melakukannya,” katanya kepada BoyleSports.

“Anda tidak pernah mahu menamatkan karier panjang anda di kelab besar seperti itu, dalam keadaan huru-hara. Saya faham bagaimana kelab bola sepak ini berfungsi, tetapi saya juga bersimpati dengan pemain legenda seperti De Gea.”

De Gea menyertai United pada 2011 dan berjaya menjadi pengganti Edwin van der Saar yang berkaliber. Dia membantu kelab menjuarai EPL terakhir mereka setakat ini.

Yorke bimbang bahawa penjaga gol baru tidak akan dapat menandingi apa yang telah dicapai oleh De Gea untuk kelab itu dan menyatakan bahawa terdapat sangat sedikit penjaga gol bertaraf dunia yang tersedia untuk United beli ketika ini.

“Man United perlu berhati-hati dengan apa yang mereka inginkan. Anda tidak akan memenangi Sarung Tangan Emas jika anda bukan penjaga gol yang bagus,” tambahnya.

“Saya tahu dia melakukan kesilapan dan beberapa daripadanya pada masa yang genting, tetapi siapa yang tidak melakukan kesilapan?”

“Saya tidak fikir penjaga gol yang dimahukan Man United adalah hampir sama seperti De Gea, jadi mereka perlu berhati-hati dengan apa yang mereka inginkan.”

“Dean Henderson mungkin diberi peluang sementara De Gea masih ada, tetapi menukar penjaga gol boleh kembali menggigit Man United sendir.”

“Ia adalah risiko yang lebih besar untuk membawa masuk mana-mana penjaga gol yang dilihat Man United berbanding kekal bersama De Gea.”